HANYA PADAMU HANNISSA
Penulis: Muna Mahira
Terbitan: Permata Hiraz
TUBUH lagak iklan model seluar dalam itu menyandar di pintu. Sepasang mata redup merenung sang bidadari yang terpejam rapat matanya. Ada sedikit kerutan di dahi. Lena sang bidadari nyata tidak senyenyak mana.
Bibir tersugil sebaris senyuman yang sukar dimengertikan bila melihat bidadarinya begitu. Dia tahu bidadarinya itu keletihan benar. Cinta terpancar jelas di mata seorang suami. Cinta yang sentiasa membara. Tidak pernah pudar warnanya. Malah hangatnya sesekali mampu merentungkan sang bidadari.
Mata melirik pada si kecil yang memonopoli sang bidadari di sisi kiri dan kanan. Si kecil yang menjadi penyebab bidadarinya terdampar lesu. Namun kedua-dua si kecil merupakan anugerah tidak terhingga. Bukti cinta mereka.
Semakin dalam cinta yang terpancar di mata. Semakin menyala apinya. Direnung tanpa jemu wajah yang cantik yang kekal bertakhta di hati. Wajah yang membuat seorang suami kenal erti bahagia sebenar.
“I love you, Nissa.” Ucapan keramat itu terletus di bibir. Mungkin satu ucapan yang biasa-biasa. Namun membawa makna yang terindah.
Puas merenung, kaki perlahan-lahan melangkah menghampiri. Jari telunjuk mendarat di dahi yang berkerut tanpa sedar. Menyapu kerutan itu hilang. Biar licin seperti selalu. Sentuhan seorang suami mengusik lena sang isteri. Seluruh tubuh seorang isteri sudah sebati dengan sentuhan lelaki itu. Hatta biar hanya jari telunjuk yang mengusik mampu menyedarkan sang isteri.
Perlahan-lahan mata sang isteri terbuka. Sebaik melihat gerangan yang mengganggu, serentak itu senyuman manis mula menghiasi bibir. Menyambut kepulangan suami tersayang.
Buat seketika tiada siapa cuba bersuara. Masing-masing asyik merenung pasangan sehidup semati. Seolah terlalu lama tidak bertentang mata. Walhal hanya pagi tadi sang suami menghilang ke pejabat cuma.
Tanpa dipinta kucupan hangat singgah di dahi licin sang isteri. Menambahkan kemanisan senyuman di bibir merah itu.
“Letih?”
Laju dibalas dengan gelengan sang isteri. Tidak terasa letih saat menghabiskan waktu menjaga insan-insan yang membawa makna di dalam hidupnya. Insan-insan yang terlalu berharga.
Bardrizal tersenyum nipis. Isterinya itu tidak pernah mengeluh di hadapannya. Langsung tidak cuba mengadu biarpun kepenatan mengejar waktu untuk menjaga anak-anaknya. Sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk amanah yang dianugerahkan buat mereka.
Selfless. Itu isterinya. Hannissa Amsyar. Seorang wanita yang dicintai dan dihormatinya. Wanita yang mengajarnya erti sebenar hidup.
Kerana wanita itu dia belajar untuk memikul tanggungjawab. Dan kerana wanita itu juga dia belajar mencintai. Cinta yang membawa makna mendalam dalam hidup seorang suami.
Mencintai rupanya perlu bersedia berkorban apa sahaja. Bukan hanya tahu menikmati rasa indah. Perlu juga bersedia untuk merasa terjerutnya perasaan. Demi sang isteri, tidak kira pahit atau manis, tetap berbaloi untuk diredah. Yang penting, Hans sentiasa di sisi.
“Baru balik?” soal Hans lembut. Suara yang sedikit serak itu umpama melodi indah menyapa telinga sang suami.
“Banyak kerja, sayang,” balas Bardrizal mengangguk sekilas.
“Nak makan?” soal Hans prihatin.
“Erm…” Mata mula mendarat pada sesusuk tubuh yang kekal indah di mata. Menjamah tanpa silu.
Hans menjongket kening. Dapat dilihat keinginan yang beralun jelas di mata sang suami. Sentiasa menginginkannya. Tidak jemu biar sudah bertahun-tahun berlalu.
“I want to eat you,” balas Bardrizal tersenyum nakal.
“Really?” soal Hans dengan nada mengusik. Kemudian mata melirik pada kiri dan kanannya yang dimonopoli si kecil. Bagaimana mahu menunaikan hajat sang suami bila si kecil menuntut perhatiannya?
Terletus keluhan kecil di bibir saat mata tertunak pada ‘halangan’ yang wujud. Sentiasa mematikan niat yang membara.
Hans menahan tawa. Simpati berbuah di dada. Tahu Bardrizal banyak mengorbankan keinginan diri bila mereka dikurniakan cahaya mata kedua. Perhatian seorang isteri perlu dikongsi dengan tugasan seorang ibu. Tidak mampu tertumpu pada sang suami seorang sahaja.
“I really… really want to eat you,” tekan Bardrizal. Namun dia sedar hajat itu tidak akan kesampaian malam ini. Sengaja mahu mendera sang isteri dengan rasa bersalah.
“I’m waiting,” balas Hans bersahaja. Tahu benar Bardrizal tidak akan mengotakan apa yang dikata.
“Nissa cuba goda abang ke?” soal Bardrizal. Ada amaran berbunyi di situ.
“Salah ke?”
“Nissa suka dera abang,” keluh Bardrizal mengalah akhirnya. Jika dibiarkan sang isteri terus berbicara begini, dia bimbang tidak dapat mengawal diri. Ada juga diheret tubuh genit itu ke bilik lain nanti.
“I’m not,” nafi Hans dengan wajah tidak bersalah. Mana mungkin dia sanggup mendera suami sendiri? Menggoda tidak salah bukan?
“Malam esok… tahulah abang ajar isteri nakal abang ni,” balas Bardrizal penuh dendam kesumat.
Akal mula ligat merancang bagaimana mahu melarikan si mama dari anak-anaknya. Memastikan malam mereka hangat tanpa sebarang gangguan.
“Nissa tunggu.” Balasan sang isteri penuh dengan nada menggoda. Membuatkan sang suami hampir gagal mengawal diri.
Jika tidak memikirkan si kecil yang diserang demam mahu dimanjakan mama mereka, sudah diangkut kembali ke bilik masing-masing. Membiarkan hanya mereka berdua di dalam bilik ini. Melayari malam yang masih panjang.
Sekali lagi keluhan terletus di bibir sang suami. Hanya mampu memandang hidangan di hadapan mata untuk malam ini. Puasa lagi la malam ni!
YUSMI tersenyum sumbing melihat majikannya yang bergegas mahu pulang. Macamlah lari gunung dikejar. Tergeleng-geleng sendiri.
Bertahun-tahun dia menjadi setiausaha lelaki tinggi lampai itu buat dia cukup kenal rentak majikannya. Tidak pernah cuba membuang masa di pejabat jika tiada apa yang menuntut perhatian.
Bardrizal seorang suami yang sentiasa ingin terbang ke sisi sang isteri. Datanglah segala jenis wanita penggoda, hanya sang isteri kekal di mata. Bukan tiada klien yang cuba menarik perhatian lelaki itu. Malah staf di syarikat cuba mengambil kesempatan. Sebelah mata pun tidak dipandang.
Rasa kagum menjentik hati. Tidak tahu bagaimana Puan Nissa mampu menambat hati seorang Bardrizal hingga langsung buta untuk melihat perempuan lain. Hebat.
“Puan Nissa tak lari ke mana pun, Encik Bard,” usik Yusmi menyerahkan beg bimbit lelaki itu.
“You boleh cakap macam tu sebab you belum ada anak lagi,” bidas Bardrizal sinis.
Pengantin baru seperti setiausahanya tidak akan faham masalah yang dihadapinya. Dia yang terpaksa berebut isteri dengan anak-anak sendiri benar-benar mendera keimanan seorang suami.
Meledak tawa Yusmi mendengar komen itu. Bukan risau sang isteri lari rupanya. Risaukan si kecil lebih dulu memonopoli masa isteri.
“Sekarang you berani ketawakan I. Bila you dah ada anak sendiri nanti… baru you tahu,” tutur Bardrizal seraya melangkah pantas keluar dari bilik pejabat. Meninggalkan setiausahanya yang tersengih panjang. Hanya satu perkara bermain di fikiran ketika ini. Hannissa Amsyar. Malam yang indah. Merekah senyuman nakal di bibir.
SENYUMAN di bibir Bardrizal tidak kekal lama. Pulangnya disambut dengan imej sang isteri diulit anak-anak lelakinya yang enggan berpisah. Erat memeluk tubuh genit mama mereka.
Hans mengangkat wajah saat Bardrizal muncul di pintu. Wajah keruh Bardrizal mengundang tawa yang tidak dapat ditahan. Mata kemudian melirik pada kiri dan kanannya yang sudah dimonopoli Benjamin dan Haidar.
“Suka, hurm?” soal Bardrizal geram. Mahu sahaja dihukum bibir yang begitu berani mentertawakannya itu. Hans pantas menggeleng. Bibir diketap mematikan tawa. Namun tidak mampu menghilangkan senyuman yang bersisa.
Tangan Hans membelai lembut ubun-ubun Benjamin dan Haidar. Sudah hampir seminggu anak-anaknya diserang demam. Dan sudah seminggu juga dia tidak masuk ke pejabat demi menjaga si kecil yang memerlukan perhatian.
Hari ini demam mereka sudah hampir sembuh sepenuhnya. Pun begitu Benjamin dan Haidar tidak melepaskan peluang untuk melekap di tubuhnya. Sudah lagak koala pula. Bila jatuh sakit sahaja mereka manja begini.
“Baru balik muka dah keruh macam kena petir,” tegur Puan Sri Zamiha melangkah ke ruang tamu. Bubur di tangan diletakkan di atas meja di hadapan si menantu. Untuk santapan cucu-cucu tersayang.
Bardrizal tertawa sinis diselar Puan Sri Zamiha. Matanya tunak memandang wajah tua itu lama. Memohon simpati. Mengharap Puan Sri Zamiha dapat mengambil tempat isterinya.
“Bukan mama tak nak tolong. Tapi Ben dengan Haidar yang tak nak. Nak Nissa jugak,” tutur Puan Sri Zamiha tersenyum sumbing. Lapar benar anaknya itu. Bukan lama mana terpaksa berpuasa. Ish!
“Malam ni Bard nak bawak lari menantu mama,” tingkah Bardrizal tanpa riak bersalah. Dia melabuhkan punggung di sisi Hans. Disentuh dahi Haidar. Tidak lagi terasa panas. Cuma wajah si bongsu jelas tidak bermaya.
Kemudian perhatiannya beralih pada Benjamin yang sudah mencelikkan mata memandangnya. Sekelip mata Benjamin memanjat naik ke tubuh Bardrizal. Melentokkan kepala di dada bidang papanya. Bardrizal tersenyum senang. Dicium ubun-ubun si kecil penuh kasih.
“Tak boleh bawa mama lari,” protes Benjamin. Hans tertawa kecil mendengar bicara si kecil. Dijeling suami di sisi. Bertambah keruh wajah kacak itu.
“Papa dah bagi pinjam mama seminggu,” betah Bardrizal tidak mahu kalah dengan si kecil.
“Tak cukup,” balas Benjamin menggeleng perlahan. Bukan selalu dapat bermanja dengan mama. Papanya selalu memberi alasan yang dia sudah besar dan perlu menjadi abang. Tidak boleh sentiasa berkepit dengan mama. Papa lagi besar. Tapi tetap mahu berkepit dengan mama. Tak adil!
“Dah cukup,” bidas Bardrizal bersahaja.
Tercebik bibir Benjamin tidak setuju. Dia memandang ke arah si mama. Memohon simpati. Mahu si mama menyebelahinya. Hans mengulum senyum. Tersepit di antara anak dan suami. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Pilih anak pun salah. Tak pilih suami pun harus dihukum nanti.
“Elok sangatlah tu. Dengan anak pun nak berebut,” selar Puan Sri Zamiha.
Anak tunggal nan seorang itu memang kerjanya mahu mengulit menantunya sahaja. Manja. Atau lebih tepat terlalu cinta. Apakan daya bila buaya jatuh cinta. Setianya menuntut sepenuh perhatian seorang isteri. Dengan cucunya pun tidak mahu mengalah.
“Ben nak adik lagi tak?” soal Bardrizal lembut. Mula memancing. Tidak peduli dengan jelingan tajam yang dihadiahkan sang isteri sebaik mendengar usul itu.
“Tak nak.” Pantas Benjamin menggeleng. Seorang adik pun dia sudah pening kepala. Haidar selalu benar berebut dengannya. Berebut mama. Berebut papa. Berebut barang mainan.
“Tak nak?” Terjongket kening Bardrizal dengan jawapan itu.
“Tak nak!” tekan Benjamin lagi. Siap berpeluk tubuh menyatakan protes.
“Kalau adik perempuan?” Bardrizal masih terus memancing.
Kali ini Benjamin kelihatan teragak-agak. Tidak terus membantah. “Adik perempuan baik tak?” soal Benjamin petah.
“Adik perempuan senang ikut cakap Ben. Ben kena jaga adik baik-baik. Kena sayang adik perempuan baik-baik.”
Hans yang menjadi pendengar setia mula panjang tangan mencari abdomen berketak sang suami. Dicubit geram. Pandai-pandai sahaja mahu menambah seorang lagi. Baru dua pun sudah mengeluh bila terpaksa berebut dengan si kecil, lagikan mahu tiga orang.
Bardrizal tersengih-sengih menayang barisan gigi tersusun rapi. Tidak menjadi kudis pun cubitan sang isteri. Malah bimbang jemari runcing itu yang cedera pula. Diraih jemari runcing sang isteri lalu dibawa ke bibir. Dihembus lembut. Hans menghadiahkan jelingan tajam. Geram.
“Ben nak adik perempuan. Tak nak macam Haidar,” tutur Benjamin setelah lama terdiam.
“Kalau nak adik perempuan… kena tidur dengan nenek malam ni,” pujuk Bardrizal.
“Kalau Ben tidur dengan mama tak boleh dapat adik perempuan ke?” Bardrizal tersenyum kelat. Hans dan Puan Sri Zamiha pula sudah tertawa besar.
“Tak boleh. Kalau papa tidur dengan mama aje baru boleh dapat adik.”
“Kenapa?” soal Benjamin petah.
Bardrizal menjeling tajam sang isteri yang seronok benar ketawa. Langsung tidak cuba membantu memberi penjelasan demi malam mereka.
“Bukan Nissa yang nak adik perempuan,” tutur Hans bersahaja.
“Abang ingat, sayang. Abang ingat,” ucap Bardrizal separuh mengugut. Tahulah nanti diajar sang isteri yang tidak peduli. Biar sedar langit itu tinggi atau rendah.
HANS melirik pada pintu. Terasa ragu yang mereka tidak akan diganggu malam ini. Kurang yakin anak-anak kesayangannya sanggup tidur sendiri bila sudah dapat peluang bermanja.
“Tengok apa lagi, sayang?” soal Bardrizal memaut dagu runcing sang isteri agar kembali fokus padanya.
“Are you sure we are not…”
“Sure,” balas Bardrizal yakin.
Dia sudah memujuk Benjamin dan Haidar demi memastikan malam ini tidak diganggu sesiapa. Biar hanya berdua dengan Hans sahaja. Anak-anaknya mengangguk akur. Mahukan adik perempuan untuk mereka. Dan dia sebagai papa perlu menunaikan hajat itu. Bekerja keras seperti biasa. Senyuman nakal mula bermain di bibir.
“Okey.” Hans mengangguk kononnya percaya. Masih tidak mampu membuang rasa ragu. Seorang ibu mana mungkin tidak kenal anak sendiri. Pun begitu dia tidak mahu mematikan keterujaan sang suami. Melayan sahaja permintaan Bardrizal.
“Nak tambah seorang lagi ke?” soal Hans menjongket kening. Kurang percaya dengan niat Bardrizal.
“Ben yang nak,” balas Bardrizal tanpa rasa bersalah. Jemarinya mula meliar di wajah mulus sang isteri. Mengelus lembut di situ.
“Ben yang nak? Siapa yang pandai-pandai bagi idea tadi?” paku Hans geram.
“Bukan salah abang bila Nissa tak cuba langsung nak tolong abang. Abang perlukan alasan untuk curi mama diorang ni.” Bibir Bardrizal sudah mula mencari mangsa. Di dahi. Di pipi. Saat mahu mendarat di bibir merah yang meruntut naluri lelakinya, ketukan di pintu bergema mematikan keinginan yang membara.
Direnung tajam Hans yang jelas menahan tawa. Bibir merah yang mahu dibahamnya kini terketap kuat.
“Jangan gelak,” desis Bardrizal bengang. Mata terarah pada pintu dengan renungan berapi. Seolah pintu itu pula musuh ketatnya. Hans menggeleng pantas. Mana mungkin dia berani ketawa. Harus bibirnya juga yang menjadi mangsa nanti.
Bardrizal tidak berniat untuk membuka pintu. Berpura-pura tidur. Wajah dibenamkan di leher jinjang sang isteri. Menikmati haruman tubuh yang menenangkan. Malangnya ketukan di pintu semakin kuat mengganggu. Jelas tiada niat untuk berhenti selagi pintu tidak dibuka.
Dengan berat hati, akhirnya Bardrizal mengalah juga. Bingkas bangun membuka pintu. Wajah Benjamin dan Haidar terlayar di mata. Memandang papa mereka dengan mata bersinar-sinar.
Bardrizal mengeluh berat. Tidak mampu memarahi si kecil yang belum mengerti apa-apa. Benjamin dan Haidar laju melompat naik ke atas katil. Terus memaut tubuh mama mereka menggantikan tempat Bardrizal.
“Nak tambah seorang lagi ke?” usik Hans menyakat. Dua orang pun sudah begini. Ada hati mahukan seorang lagi.
“Nissa… jangan ingat abang tak boleh hukum bibir tu,” ugut Bardrizal geram. Malam ini isterinya terselamat lagi.
“Bukan Nissa yang cakap nak tambah seorang lagi.”
“Nissaaa…” deram Bardrizal hilang sabar. Bibir yang suka sangat menduga dipagut lama. Tidak menghiraukan si kecil yang terkelip-kelip memandang mama dan papa mereka.
“Papa cium mama,” tutur Benjamin tersengih-sengih menampakkan gigi susu yang tersusun cantik.
“Papa cium sebab papa sayang,” ucap Bardrizal setelah puas menghukum bibir merah itu. Dibalas dengan jelingan tajam Hans.
“Ben nak cium jugak.”
“Haidar nak cium jugak.” Si adik tidak mahu kalah. Masing-masing berebut mahu mencium bibir mama mereka.
“Cium pipi mama. Bibir tak boleh,” tegas Bardrizal.
“Kenapa?” Serentak soalan itu meluncur dari bibir si sulung dan si bongsu.
“Bibir mama… papa punya.”
“Ben punya.”
“Haidar punya.”
Tawa Hans meledak dengan keletah anak-anaknya. Seorang demi seorang dicium penuh kasih. “Mama punya,” ucap Hans lembut. Ditarik kedua-duanya berbaring di katil.
“Tidur,” arah Hans. Masing-masing cukup mendengar cakap. Patuh dengan arahan mama mereka.
“I want my wife,” ucap Bardrizal dengan nada sayu. Ditayang wajah memohon simpati. Mengharap sang isteri mengerti penderitaannya.
“I’m yours. Forever yours,” ucap Hans tersenyum lebar. Matanya bersinar galak. Jelas suka melihat derita suami.
“Tak cukup dengan kata-kata, sayang. Tak cukup,” balas Bardrizal tergeleng-geleng sendiri. Kecewa malam yang dirancang sekali lagi dirosakkan dengan kehadiran si kecil. Ish!
“BOS,” sapa Atin melangkah menghampiri majikannya. Menyaingi langkah menuju ke bilik wanita itu. Seminggu tanpa bos di syarikat bikin dia pusing. Banyak perkara yang memerlukan perhatian Hans terpaksa ditangguh hingga wanita itu kembali ke syarikat.
“You bakal tenggelam dengan kerja la, bos,” komen Atin bersedia dengan segala macam dokumen untuk dibelek Hans.
“Bring it on,” balas Hans bersahaja. Sudah dapat diagak timbunan kerja yang bakal dihadap. Bagaimana mahu menunaikan hajat Bardrizal untuk berbulan madu? Hans melabuhkan punggung di kerusi empuk. Bersandar selesa. Mata mendarat pada lambakan kerja di atas meja. Benar-benar mendera.
“Cuti lama sangat tu, bos,” komen Atin.
“I will call you later,” ucap Hans menghalau Atin keluar. Dia lebih senang meneliti dahulu segala dokumen sebelum mendengar penjelasan daripada Atin.
“Okey, bos. Good luck,” balas Atin tersengih panjang seraya melenggang kangkung keluar dari bilik majikannya.
Hans memicit dahi yang mula terasa berdenyut. Baru ingin memulakan kerja sudah ada tekanannya. Mahukan tidak bila diri sendiri tidak cukup rehat. Pun begitu senyuman tetap bergayut di bibir. Anak-anak merupakan tanggungjawab dan permata hatinya. Syarikat pula menjadi kebanggaan hasil titik peluh sendiri.
Tiada apa untuk dikeluhkan bila melakukan sesuatu yang cukup dekat di hati. Dia langsung tidak rasa terpaksa. Malah senang dapat menghabiskan masa begini. Cumanya tubuh sahaja agak lesu terpaksa membahagikan masa yang cuma 24 jam sehari.
Tenggelam di dalam kerja membuatkan masa yang berlalu langsung tidak tertera di ingatan. Sehinggakan perut yang berbunyi lapar juga tidak dipedulikan.
Bardrizal tersenyum sinis. Dia sudah menduga perkara begini yang akan berlaku bila isterinya lama tidak menjejak syarikat. Dia yang sudah lama bersandar di pintu menjadi pemerhati bisu hampir keras menjadi batu pun tidak disedari wanita itu. Bardrizal berdeham kecil. Cuba meraih perhatian wanita yang terlalu asyik berada di dalam dunia kerja.
Perlahan-lahan Hans mengangkat wajah. Mata yang terlalu lama digunakan terasa kabur. Ditonyoh perlahan dan imej lelaki tinggi lampai terlayar di mata. Serentak itu bibir merekah dengan senyuman manis.
“Bila abang datang?” Hans bingkas bangun mendapatkan Bardrizal. Sekelip mata tubuhnya ditarik ke dalam dakapan sang suami.
“Abang…” Mata Hans meliar ke luar bilik. Bimbang orang bawahannya melihat adegan mesra mereka. Kosong. Tiada siapa di dalam pejabat. Nampak benar dia terlalu leka hingga tidak sedar sudah tiba masa rehat.
“I miss you,” ucap Bardrizal memagut bibir Hans tanpa sebarang amaran. Rasa mahu sahaja dibaham ketika ini juga.
“Abang!” Terjerit marah Hans dibuatnya. Tahu benar apa yang bermain di fikiran lelaki itu.
“Jangan nak berani…”
“Abang tak takut, sayang,” potong Bardrizal. Sekali lagi mendiamkan Hans dengan mudah.
“Ni bukan kat rumah,” protes Hans kalut. Ditolak dada bidang Bardrizal cuba melepaskan diri.
“Kat rumah pun abang tak dapat peluang,” komen Bardrizal tersenyum nakal. Ditarik tubuh genit Hans menuju ke sofa. Sepasang mata yang beralun dengan keinginan yang tidak cuba disembunyikan menggerunkan wanita itu.
“Not here…”
“I don’t care,” balas Bardrizal selamba. Jemarinya sudah mula merayap di leher sang isteri. Menyelak apa yang sepatutnya ditutup.
“Abang!”
“Nissa…”
“Please…” Hans sudah separuh merayu. Bimbang Bardrizal benar-benar melakukan apa yang dikata.
“Takut, hurm?” Tawa Bardrizal meledak tanpa dapat ditahan. Takut benar isterinya. Baru diusik sikit sudah gelisah begini. Berani lagi mentertawakannya.
“Abang!” tingkah Hans geram. Dipukul dada lebar itu melepaskan marah. Suka benar mengusik. Humph!
“I really… really want to eat you,” ucap Bardrizal penuh dendam.
“Not here.”
“Kalau bukan kat sini… Nissa kena ikut abang ke Sydney minggu depan.”
“Kalau tak ikut tak boleh ke?”
“Boleh, sayang. Tapi jangan salahkan abang…” Jemari Bardrizal sekali lagi mula merayap tanpa batasan.
“Okey. Fine!” Kalut Hans menepis bila sudah diugut begitu.
“Nissa ikut abang.” Terpaksa juga akur mengikut Bardrizal yang perlu ke Sydney di atas urusan kerja. Melihat timbunan kerja di atas meja buat keluhan berat terletus di bibir. Seminggu tiada di syarikat makin bertambahlah kerja yang tertangguh.
“Kenapa abang datang?” Datang sekadar mahu mengusiknya ke? Atau cuba mendera membalas dendam padanya?
“Nissa belum makan.”
“Mana abang tahu Nissa belum makan?”
“Abang cukup kenal isteri abang ni. Kalau dah sibuk dengan kerja…” Bardrizal tidak menghabiskan kata. Sebaliknya mencapai plastik bungkusan yang dibawanya bersama tadi. Makanan untuk dinikmati berdua.
“Thank you,” ucap Hans terharu. Dalam kesibukan, Bardrizal tetap prihatin tentangnya. Sanggup datang ke pejabat membawa makanan. Bimbang dia lupa untuk makan. Isteri mana yang tidak terharu mendapat layanan begini?
“Thank you? Tak cukup, sayang.” Hans mendengus halus. Bibir sang suami dipagut sebagai balasan.
“Tak cukup.” Sekali lagi tubuh sang isteri ditarik ke dalam dakapan. Segala protes didiamkan dengan mudah.
KETUKAN di pintu menyedarkan Hans dari terus tenggelam dalam timbunan kerja. Dia memberi arahan untuk masuk.
“Bos… dah boleh balik dah,” ucap Atin ceria. Mengingatkan majikannya untuk pulang. Jika dibiarkan harus sampai ke malam pun belum tentu bosnya mahu pulang. Hans melirik pada jam di dinding. Sudah hampir pukul 7.
“Thanks,” ucap Hans mengurut belakang leher yang terasa sengal.
“I tak nak suami you marah aje,” balas Atin tersenyum simpul. Sebelum Bardrizal meninggalkan pejabat, sempat lagi berpesan padanya supaya mengingatkan si isteri pulang ke rumah. Sayang benar suami majikannya pada isteri.
“Sejak bila you dah jadi assistant suami I ni?”
“I mana sanggup tolak permintaan suami you, bos.” Permintaan lelaki kacak sukar untuk ditolak.
“He’s mine, Atin,” tegas Hans. Atin gelak besar mendengar nada cemburu yang keluar dari bibir bosnya. Tahu pula cemburu.
“Suami bos tu mana mahu pandang perempuan lain. Bos tak perlu risau sikit pun. He’s totally yours,” ucap Atin tergeleng-geleng.
Hans tersenyum senang mendengar komen itu. Benar. Dia langsung tidak perlu bimbang. Bardrizal hanya mahukannya. Perempuan lain sebelah mata pun tidak sudi dipandang. Sepenuh perhatian lelaki itu hanya miliknya. Sentiasa miliknya!